Category: ISLAMIK

  • Surah az-Zalzalah

    1. Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya.

    2. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.

    3. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?”

    4. Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya.

    5. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

    6. Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) — untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan-amalan mereka.

    7. Maka, sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya). *

    8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).


    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 8 ayat.

    Dinamakan surah al-Zalzalah (Gegaran), kerana pada awal surah ini, Allah menegaskan: Bahawa bumi — pada hari kiamat — akan digegarkan dengan gegaran yang dahsyat.

    Intisari kandungannya — Kerap kali orang-orang kafir yang menentang Nabi Muhammad SAW bertanya kepada baginda secara mengejek-ejek: Bilakah datangnya hari kiamat yang dijanjikan itu?

    Bagi menjawabnya, Allah menegaskan: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang dahsyat, sehingga terbongkar segala isinya yang terpendam, maka saat itu manusia yang menyaksikan peristiwa itu akan bertanya sesama sendiri dengan cemas takut: Apa sudah jadi? Apa sebabnya berlaku demikian?

    Kemudian Allah menerangkan lagi tentang peristiwa-peristiwa yang terjadi selepas itu:

    “Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing), untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan-amalan mereka.

    “Maka, sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).

    “Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).”

    Kandungan surah ini memberi galakan supaya kita jangan meninggalkan amalan yang baik sekalipun sedikit, dan mengingatkan kita supaya menjauhi sebarang maksiat (yang berdosa) walau yang sekecil-kecilnya.

    * Ayat ini dan yang berikutnya menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalannya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang seberat debu sekalipun.

    Sumber – Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Hukum mengumpul patung

    Bagaimana hukum patung menurut pandangan Islam? Saya mempunyai beberapa buah patung pemuka Mesir masa dulu, dan saya hendak memanjangnya di rumah sebagai perhiasan, tetapi ada beberapa orang mencegahnya dengan alasan bahawa hal itu haram. Benarkah pendapat itu?

    Islam mengharamkan patung dan semua gambar yang bertubuh, seperti patung manusia dan haiwan.

    Tingkat keharaman itu akan bertambah apabila patung itu merupakan bentuk orang yang diagungkan, seperti raja, nabi, al-Masih atau Maryam, atau berbentuk sesembahan para penyembah berhala, seperti sapi bagi orang Hindu.

    Maka, yang demikian itu tingkat keharamannya semakin kuat, sehingga kadang-kadang sampai pada tahap kafir atau mendekati kekafiran, dan orang menghalalkannya dianggap kafir.

    Islam sangat menaruh perhatian dalam memelihara tauhid, dan semua hal yang akan bersentuhan dengan akidah tauhid ditutup rapat-rapat.

    Sesetengah orang berkata, “pendapat seperti ini berlaku hanya pada zaman berhala dan penyembahan berhala, adapun sekarang tidak ada lagi berhala dan penyembah berhala”.

    Ucapan ini tidak benar, kerana pada zaman kita sekarang masih ada orang yang menyembah berhala dan menyembah sapi atau haiwan lainnya. Mengapa kita mengingkari kenyataan ini?

    Bahkan di Eropah banyak kita jumpai orang yang tidak sekadar menyembah berhala. Anda akan menyaksikan bahawa pada era teknologi canggih ini mereka masih menggantungkan sesuatu pada ladam kudanya misalnya, atau pada kenderaannya sebagai tangkal.

    Manusia pada setiap zaman selalu saja ada yang mempercayai khurafat. Dan kelemahan akal manusia kadang-kadang menyebabkan mereka menerima sesuatu yang tidak benar, sehingga orang yang mengaku berperadaban dan cerdekia pun dapat terjatuh ke dalam lembah kebatilan, yang sebenarnya hal yang demikian itu tidak dapat diterima oleh akal orang buta huruf sekalipun.

    Islam telah menjangkakan hal itu sehingga mengharamkan segala sesuatu yang dapat membawa kebiasaan tersebut kepada sikap keberhalaan, atau yang di dalamnya mengandungi unsur-unsur keberhalaan. Sebab itulah Islam mengharamkan patung. Dan patung-patung pemuka Mesir waktu dahulu termasuk dalam jenis ini.

    Bahkan ada orang menggantungkan patung-patung tersebut untuk azimat, seperti memasang kepala “naqratiti” atau lainnya untuk menangkal hasad, jin, atau ain (mata). Dengan demikian keharamannya menjadi berganda, kerana bergabung antara haramnya azimat dan haramnya patung.

    Kesimpulannya, patung itu tidak diperbolehkan (haram), kecuali patung (boneka) untuk permainan anak-anak kecil, dan setiap Muslim wajib menjauhinya.

    Kumpulan Fatwa, Yusuf Qardawi

  • Noh Gonbad, masjid purba berkubah sembilan menjadi saksi masa silam Islam di Afghanistan

    Seorang buruh Afghanistan bekerja di masjid Noh Gonbad abad kesembilan di wilayah Balkh. (Fail/AFP)

    KABUL — Struktur batu bata kecil yang dibakar di barat laut Afghanistan selama beberapa dekad membingungkan ahli arkeologi, dengan sesetengahnya bertarikh asal-usulnya pada abad ke-9 dan yang lain bahkan seratus tahun lebih awal — menjadikannya salah satu monumen tertua Islam.

    Dikenali sebagai Noh Gonbad, sempena sembilan kubah yang pernah menutupinya, struktur itu terletak 3 km dari bandar moden Balkh.

    Mihrab yang ditemui di tapak itu – ceruk yang menunjukkan arah Kaabah – adalah bukti bahawa ia telah berfungsi sebagai masjid.

    Hiasan stuko yang tersendiri pada lajurnya menggabungkan motif yang mengingatkan gaya dominan pada dekad awal Kekhalifahan Abbasiyah dan Empayar Samanid.

    “Masjid ini adalah salah satu contoh penempatan era Samanid yang paling indah dan elegan,” kata Saleh Mohammad Khaliq, ahli sejarah dan bekas pengarah budaya wilayah Balkh, kepada Arab News.

    “Ia dibina sepenuhnya dalam gaya seni bina umum di rantau ini, yang dipengaruhi oleh seni Sasanian, Buddha dan Gandhara.” Berukuran hanya 20 kali 20 m, ia berdiri sendiri.

    Sembilan bilik kebal runtuh lama dahulu, dengan cerita rakyat menyalahkan kemusnahan mereka pada pencerobohan Mongol ke atas Balkh pada tahun 1220.

    Masa dan gempa bumi memberi pukulan juga. Ahli arkeologi mula-mula menyelidik masjid itu pada 1960-an tetapi hanya sedikit yang dilakukan dalam tempoh empat dekad berikutnya kerana pergolakan awam dan kemudian perang di Afghanistan.

    Pada tahun 2006, penggalian bermula dan kerja pemuliharaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini membantu menstabilkan struktur.

    Masjid ini terdiri daripada ruang solat bertiang dan halaman hadapan yang sejajar dengan arah Kaabah pada paksi timur laut-barat dayanya.

    Hiasan pada tiang dan gerbang terdiri daripada daun anggur dan bentuk geometri, yang telah dibandingkan dengan yang digunakan di Samarra, Iraq.

    Tetapi gaya lain juga ada, bermakna bahagian bangunan telah dibina atau wujud dalam tempoh yang berbeza.

    “Ia adalah masjid tertua yang tinggal dari abad pertama era Islam di Balkh dan di Afghanistan, dan keindahan bangunan ini menjadikannya istimewa,” kata Khaliq.

    “Ibn Battuta, pengembara yang terkenal, membandingkan struktur masjid Balkh dengan masjid Alhambra di Granada, Sepanyol, dan saiz tiang dengan masjid Rabat di Maghreb, tetapi menganggapnya lebih indah daripadanya.”

    Dinamakan sempena sembilan kubah yang wujud pada zaman kegemilangannya, ia juga dikenali sebagai Masjid Haji Piyada. Perkataan “piyada” bermaksud “berjalan kaki.”

    “Pada hari Aidiladha, pada abad-abad awal Islam, mereka yang tidak dapat pergi haji akan datang dengan berjalan kaki ke masjid ini dari jauh dan dekat bahagian Balkh. Mereka datang dan bersembahyang, bersedekah dan beribadat, dan percaya bahawa mereka telah mendapat pahala haji,” kata Khaliq.

    “Selepas musnahnya masjid ini, tradisi itu berterusan, dan berterusan sehingga sekarang.”

    Bagi penduduk Balkh seperti Hasibullah Hazim, 35, masjid itu mengingatkan kepada hilangnya kilauan kawasan itu.

    “Masjid ini khas untuk semua, masjid ini dibina pada abad ke-8, raja-raja pada zaman itu menggunakan masjid ini,” katanya.

    “Masjid Haji Piyada bukan sahaja untuk warga Balkh, tetapi untuk semua orang. Masjid ini dibina pada zaman Khalifah Abbasiyah, ia adalah tempat bersejarah.”

    Yaseen Wakilzada, 60, teringat bagaimana dia melawat tapak itu pada zaman kanak-kanak dan bagaimana ramai pelancong dari Balkh dan wilayah lain datang untuk melihat runtuhan itu juga.

    “Semua yang anda lihat adalah sejarah,” katanya.

    “Ia adalah satu kebanggaan istimewa bagi penduduk Balkh, diiktiraf di seluruh dunia Islam.”

    Diterjemahkan daripada artikel Arab News


    INFO TAMBAHAN

    Masjid ini mendapat nama gantinya, Noh Gumbad, daripada sembilan kubah yang pernah menutupinya. Kubah bata ini runtuh kerana bahan-bahan yang semakin tua. Hanya satu gerbang yang menahannya masih berdiri. Hiasan stu

  • Surah asy-Syams

    1. Demi matahari dan cahayanya yang terang benderang.

    2. Dan bulan apabila ia mengiringinya.

    3. Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata.

    4. Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap gelita).

    5. Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh — yang melambangkan kekuasaan-Nya).

    6. Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhluk-Nya).

    7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).

    8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

    9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya — yang sedia bersih — bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amalan kebajikan).

    10. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya — yang sedia bersih — itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

    11. (Ingatlah) kaum Tsamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas.

    12. Ketika orang yang sehabis-habis jahat antara mereka menerima perintah daripada mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat).

    13. Maka, berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: “(Janganlah kamu ganggu) unta betina daripada Allah itu*, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab).”

    14. (Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Dia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).

    15. Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).


    NOTA

    * Yakni unta betina yang dijadikan mukjizat oleh Allah bagi Nabi Soleh Alaihissalam.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 15 ayat.

    Dinamakan surah asy-Syams (Matahari) kerana pada awal surah ini dan ayat-ayat yang berikutnya Allah Taala bersumpah dengan matahari dan makhluk-makhluk yang lain, bahawa sesungguhnya berjayalah orang-orang yang menjadikan dirinya — yang sedia bersih — bertambah-tambah bersih dengan iman dan amalan kebajikan, dan hampalah orang yang menjadikan yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.

    Intisari kandungannya — menegaskan perihal manusia yang telah diciptakan oleh Allah, yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (mengenal) – jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa.

    Dengan yang demikian, terserahlah kepada manusia sendiri memilih dan bertanggungjawablah dia terhadap pilihannya itu. Jika dia memilih jalan yang membawanya kepada kebaikan – iman dan takwa, maka selamatlah dia di dunia dan di akhirat, dan jika sebaliknya maka buruklah akibatnya.

    Sebagai contoh, diceritakan perihal kaum Nabi Soleh yang telah memilih jalan yang membawa mereka kepada kejahatan, lalu mereka menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Akibatnya mereka dibinasakan oleh Allah sehingga punah-ranah semuanya.

    “Dan Allah tidak hiraukan kesudahan — mereka yang buruk — itu (kerana yang demikian ialah balasan yang adil).

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah at-Takwir

    1. Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).

    2. Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.

    3. Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

    4. Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.*

    5. Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.

    6. Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.

    7. Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.

    8. Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup; ditanya

    9. Dengan dosa apakah dia dibunuh?

    10. Dan apabila surat-surat amalan dibentangkan.

    11. Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.

    12. Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.

    13. Dan apabila syurga didekatkan.

    14. (Setelah semuanya itu berlaku) mengetahuilah tiap-tiap diri akan amalan yang telah disediakannya.

    15. Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul.

    16. Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya.

    17. Dan malam, apabila ia hampir habis.

    18. Dan siang, apabila ia mulai terang.

    19. Sebenarnya, al-Quran itu sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia.

    20. Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi, di sisi Allah yang mempunyai Arasy.

    21. Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

    22. Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam) bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh).

    23. Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu daripada Tuhan, kerana) demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

    24. Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh ditohmah dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

    25. Dan sebenarnya al-Quran itu bukanlah perkataan syaitan yang kena rejam.

    26. (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (sekiranya kamu masih menyeleweng dari jalan al-Quran)?

    27. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.

    28. Iaitu bagi sesiapa daripada kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

    29. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.


    NOTA

    * Dalam kehidupan bangsa Arab – semasa ayat ini diturunkan – unta sangat penting, dan kerana itu ia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi yang bunting dan sudah masuk bulannya yang kesepuluh. Apabila unta-unta yang bunting – yang sangat disayangi itu – terbiar dan tidak dijaga lagi, maka yang demikian adalah disebabkan berlakunya perkara-perkara yang sungguh mengerikan. Ini hanyalah sebagai misalan. Yakni kalaulah ada unta-unta yang demikian keadaannya semasa berlakunya kiamat, maka tuannya tidak akan menghiraukannya kerana tuannya pada saat itu hanya mementingkan keselamatan dirinya sendiri.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 29 ayat.

    Dinamakan surah at-Takwir (Melingkari), kerana Allah menegaskan – pada awal surah ini – mengenai tanda berlakunya hari kiamat ialah ketika “matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).”

    Intisari kandungannya: Menggambarkan pelbagai peristiwa yang akan berlaku ketika datangnya hari kiamat. Pada waktu itu, mengetahuilah tiap-tiap diri akan amalan yang telah dilakukan. Jika baik, baiklah balasannya; jika jahat, buruklah balasannya. Dalam bahagian yang lain, ditegaskan mengenai kebenaran al-Quran Kalamullah, dan diterangkan mengenai sifat dan tugas malaikat Jibril (alaihissalam) yang menyampaikan wahyu – al-Quran – kepada Nabi Muhammad (sollallahu alaihi wasallam).

    Setelah menolak tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan oleh orang-orang kafir yang menentang Nabi yang mulia, maka pada akhir surah ini Allah memberi amaran kepada golongan kafir sambil menegaskan mengenai kebenaran apa yang diwahyukan-Nya kepada Rasul-Nya.

    “(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (sekiranya kamu masih menyeleweng dari jalan al-Quran)?

    “Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.

    “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

    Sumber: Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • 5 ayat surah al-Baqarah

    1. Alif Laam Miim.*

    2. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.**

    3. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib *** dan mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

    4. Dan juga orang-orang yang beriman kepada kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

    5. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.


    * Allah jua yang mengetahui erti dan maksud huruf-huruf yang terletak pada permulaan sesetengah surah al-Quran seperti Alif Lam Mim ini.

    Sayugia disebut, antara 114 surah yang menjadi kandungan al-Quran, ada 29 surah yang dimulakan dengan huruf semata-mata. Ada yang dimulakan dengan satu huruf saja seperti Sad, Qaf dan Nun. Ada yang dimulakan dengan dua huruf seperti Ha Mim, Tha Sin, Tha Ha, dan Ya Sin. Ada pula dimulakan dengan tiga huruf seperti Alif Lam Ra’, Alif Lam Mim, dan Tha Sin Mim. Ada dimulakan dengan empat huruf seperti Alif Lam Mim Ra’ dan Alif Lam Mim Sad. Ada pula dimulakan dengan lima huruf seperti Ha Mim Ain Sin Qaf dan Kaf Ha Ya Ain Sad.

    Cara membaca huruf-huruf ini ialah dengan menyebut namanya satu-satu.

    ** Takwa ertinya memelihara atau melindungkan diri daripada sesuatu yang ditakuti atau yang dibimbangkan. Bertakwa kepada Allah ialah memelihara diri daripada sesuatu yang membawa kepada seksa dan kemurkaan Allah, dengan menjalankan undang-undang peraturan-Nya serta hukum-hukum perintah-Nya.

    Al-Quran ini menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa atau yang berusaha membentuk dirinya mematuhi perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya kerana merekalah yang terutama sekali yang mendapat faedah daripada petunjuk hidayah al-Quran, disebabkan imannya dan takwanya. Sedang orang-orang yang kufur dan ingkar adalah sebaliknya.

    *** Perkara yang ghaib itu ialah sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasa dengan pancaindera yang lima bagi manusia biasa tetapi diakui serta diyakini dengan jalan perhatian dan fikiran yang berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima oleh akal yang sempurna seperti wujud Allah dan sifat-sifat-Nya, demikian juga malaikat, hari akhirat, syurga, neraka dan lain-lain.


    Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah, mengandungi 286 ayat. Surah ini yang panjang sekali antara surah-surah al-Quran.

    Dalam sahih Muslim ada satu hadis maksudnya: Bacalah kamu surah al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak), dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa, dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (yang salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.

    Sumber – Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Kamu bersama orang dicintai

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seseorang bersama siapa dicintai. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam satu riwayat lagi: Abu Musa berkata: Dikatakan kepada Nabi SAW: Seorang lelaki menyukai suatu kaum, tetapi dia tidak pernah menemui mereka? Baginda bersabda: Seseorang bersama siapa dicintai.

    HURAIAN

    Hadis ini antara lain mengandungi pengertian seseorang bersama orang dicintai, walaupun tidak pernah menemuinya dan mengingatkan kita agar jangan salah menyukai atau mencintai, sebaliknya menyukai orang baik-baik.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283

  • Uwais yang doanya dikabulkan Allah

    Daripada Usair bin Amru, dan dikatakan Ibn Jabir, dan dia berkata: Umar bin al-Khattab ketika didatangi pasukan daripada penduduk Yaman, maka dia bertanya kepada mereka: Apakah antara kamu ada seorang yang bernama Uwais bin Amir?

    Sehingga akhirnya, Umar sampai di hadapan Uwais, lalu Umar bertanya kepadanya: Apakah kamu Uwais bin Amir?

    Uwais menjawab: Ya.

    Dia bertanya lagi: Benarkah kamu dari keturunan kabilah Murad, kemudian dari lingkungan suku Qaran?

    Dia menjawab: Ya.

    Umar bertanya lagi: Apakah dulu kamu pernah menderita penyakit kusta, kemudian kamu sembuh dari penyakit itu, kecuali hanya satu tempat sebesar dirham?

    Dia menjawab: Ya.

    Umar melanjutkan pertanyaannya: Apakah kamu masih mempunyai ibu?

    Dia menjawab: Ya.

    Umar berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kelak akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin Amir bersama pasukan dari penduduk Yaman, dia dari keturunan Murad, kemudian dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia sembuh daripada penyakitnya itu, kecuali di suatu tempat sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia amat berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan mengabulkan sumpahnya. Oleh kerana itu, apabila kamu dapat meminta padanya agar dia memintakan pengampunan untukmu, maka lakukanlah itu. Oleh kerana itu, mohonkanlah pengampunan kepada Allah untukku.

    Lantas Uwais pun memohonkan pengampunan untuk Umar.

    Selanjutnya, Umar bertanya lagi: Ke manakah kamu hendak pergi?

    Dia menjawab: Ke Kufah.

    Umar berkata: Sudilah kiranya jika saya menuliskan sesuatu untuk memenuhi kepentinganmu kepada gabenor Kufah!

    Dia menjawab: Saya lebih senang menjadi golongan manusia fakir miskin.

    Setelah tiba tahun berikutnya, ada seorang daripada golongan bangsawan Kufah melaksanakan ibadat haji, lalu kebetulan dia bertemu Umar. Kemudian Umar menanyakan padanya mengenai Uwais.

    Orang itu menjawab: Sewaktu saya tinggalkan, dia dalam keadaan buruk rumahnya dan sedikit harta bendanya.

    Lantas Umar berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kelak akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin Amir bersama pasukan dari penduduk Yaman. Dia dari keturunan Murad, kemudian dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia sembuh dari penyakitnya itu, kecuali di suatu tempat sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia amat berbakti padanya. Seandainya dia bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Oleh kerana itu, apabila kamu dapat meminta padanya agar dia memintakan pengampunan untukmu, maka lakukanlah itu.

    Orang bangsawan itu pun mendatangi Uwais dan berkata: Mohonkanlah ampunan kepada Allah untukku!

    Uwais berkata: Justeru, anda ini yang masih baru saja selesai melakukan perjalanan yang baik, maka sepatutnya anda memohonkan pengampunan untukku.

    Orang bangsawan itu berkata lagi: Mohonkanlah ampunan kepada Allah untukku!

    Uwais menjawab: Justeru anda ini yang masih baru saja selesai melakukan perjalanan yang baik, maka sepatutnya anda memohonkan pengampunan untukku!

    Uwais melanjutkan katanya: Apakah anda bertemu dengan Umar?

    Dia menjawab: Ya.

    Lalu Uwais pun memohonkan pengampunan untuknya.

    Akhirnya orang-orang mengerti siapa sebenarnya Uwais. Selanjutnya Uwais pergi dari Kufah menuruti kehendaknya sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam riwayat Muslim yang lainnya disebutkan, Usair bin Jabir meriwayatkan bahawa para penduduk Kufah menemui Umar RA dan antara mereka ada seorang lelaki yang menghina-hinakan Uwais.

    Lantas Umar bertanya: Apakah antara kamu ada seorang lelaki keturunan Qaran?

    Orang yang dimaksudkan itu pun datang padanya.

    Kemudian Umar berkata: Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya ada seorang lelaki dari Yaman akan datang pada kamu. Dia bernama Uwais. Dia tidak meninggalkan sesuatu di Yaman melainkan seorang ibu. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia berdoa kepada Allah, lalu Allah melenyapkan penyakitnya tadi, kecuali di suatu tempat sebesar dinar atau dirham. Maka, sesiapa antara kamu bertemu dengannya, maka hendaklah meminta padanya agar dia memohonkan pengampunan kepada Allah untuk kamu.

    Juga disebutkan dalam riwayat Muslim lagi, daripada Umar yang berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sebaik-baik at-tabi’in ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia mempunyai seorang ibu, dan pada tubuhnya ada bekas putih-putih, maka mintalah kepadanya agar dia memohonkan pengampunan untuk kamu.

    HURAIAN

    Memohon doa daripada orang soleh, meskipun yang memohon adalah orang yang lebih utama.

    Mukjizat Nabi SAW kerana di dalamnya terdapat informasi yang belum terjadi. Baginda menuturkan Uwais lengkap dengan namanya, sifat-sifatnya, ciri-cirinya, bertemunya dengan Umar, apa yang dilakukan oleh Umar dalam menyampaikan syariat dan menyebarluaskan sunah, pengakuan keutamaan terhadapnya dan pujian terhadap orang yang tidak khuatir kepadanya hal itu sungguh menakjubkan.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 285-287

  • Kamu bersama siapa yang kamu cintai

    Daripada Anas RA, bahawa seorang Arab pedalaman berkata kepada Rasulullah SAW: Bilakah hari kiamat?

    Sabda Rasulullah SAW: Apa yang kamu persiapkan untuk menghadapinya?

    Dia berkata: Cinta Allah dan rasul-Nya.

    Sabda baginda: Kamu bersama siapa yang kamu cintai. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud & Tirmidzi – lafaz Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan a’rabiy diterjemahkan orang Arab pedalaman.

    Perkataan as-sa’ah diterjemahkan hari kiamat.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283

  • 7 karakter harus dijauhi

    Foto hiasan

    Amirul Mukminin Sayidina Umar al-Khattab RA dipetik sebagai berkata: “Sesiapa banyak ketawa, sedikit kewibawaannya. Sesiapa meremehkan manusia, dia akan dihinakan. Sesiapa lebih banyak (kerap) terbabit dalam sesuatu, dia akan dikenali dengannya. Sesiapa banyak bicaranya, banyak pula salahnya. Sesiapa banyak kesalahannya, sedikit perasaan malunya. Sesiapa sedikit perasaan malunya, sedikit waraknya. Dan sesiapa sedikit waraknya, matilah hatinya.”

    1. Sesiapa banyak ketawa, hilang wibawa diri.

    Banyak ketawa akan menghilangkan rasa hormat daripada orang lain. Justeru, seseorang tidak dianjurkan ketawa sehingga terbahak-bahak, apatah lagi asyik dengan jenaka kerana ia boleh mendorong sikap lupa dan cuai terhadap tanggungjawab yang sepatutnya disempurnakan.

    Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Aishah RA berkata: “Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW ketawa kuat sehingga nampak anak tekaknya, (tetapi) Baginda tersenyum sahaja.”

    Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: “Jauhilah bergurau senda kerana gurau senda itu pekerjaan orang yang dungu, yang dapat menyebabkan iri hati.”

    2. Sesiapa meremehkan orang lain, dia akan terhina.

    Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Cukuplah seseorang dianggap berbuat keburukan apabila dia merendahkan saudaranya sesama Muslim.” (Riwayat Muslim)

    3. Sesiapa lebih banyak terbabit dalam sesuatu, dia akan dikenali dengannya.

    Memang ada benarnya. Orang yang selalu terbabit dalam sesuatu hal akan dikenali dengan hal berkenaan. Jangan sampai kita dikenali dalam hal tidak baik sehingga merosakkan maruah diri.

    Kata Sayidina Ali RA: “Harga diri seseorang terletak pada keahliannya.”

    4. Sesiapa banyak bicara, banyak salah.

    Imam Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang banyak bercakap, banyak salahnya. Sesiapa banyak hartanya, banyak dosanya. Sesiapa jahat akhlaknya, akan menyeksa dirinya sendiri.”

    Tuhan berfirman dalam surah Qaf, ayat 18 bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

    5. Sesiapa banyak salah, sedikit perasaan malu.

    Orang yang kurang rasa malu selalu buat salah. Dia juga tidak hairan keburukannya terdedah di mata khalayak. Berbeza dengan orang yang menebal rasa malunya, sentiasa berwaspada dalam setiap tingkah lakunya.

    Kata sesetengah ahli ilmu: “Sesiapa memakai baju malu, orang lain tidak akan melihat nodanya.”

    Malu mendatangkan kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

    6. Sesiapa sedikit perasaan malu, sedikit warak.

    Warak ialah meninggalkan hal dibolehkan sebagai bentuk sikap hati-hati daripada hal yang mengandungi dosa.

    Daripada Anas RA, Nabi SAW pernah menemui sebiji kurma di jalan. Lantas, Baginda bersabda: Kalaulah bukan kerana saya khuatir kurma ini berasal daripada harta sedekah, pasti saya akan memakannya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    7. Sesiapa sedikit warak, mati hatinya.

    Orang paling jauh dari Allah adalah orang yang mati ataupun keras hatinya. Apabila hati mati, seseorang itu tidak akan menerima nasihat dan peringatan. Kata apa saja kepadanya, semua tidak dipedulikan, bahkan dipersenda-sendakan.

    Menurut Imam al-Ghazali, kita diwajibkan menjaga hati dan menjadikannya baik dengan sungguh-sungguh, kerana hati bahagian tubuh manusia paling besar bahaya, kuat pengaruhnya, bahkan sukar dan pelik masalahnya serta paling halus dan rumit untuk membaikinya.

  • Enam merosakkan hati

    Imam al-Ghazali dalam Minhajul Abidin menjelaskan, hati adalah raja bagi segala anggota tubuh yang lain. Jika rajanya baik, rakyatnya akan turut baik dan apabila rajanya rosak, maka rakyatnya juga rosak.

    Beliau juga mengumpamakan hati sebagai pokok manakala anggota lain adalah dahan pokok. Pokok adalah pelindung bagi dahan dan cabangnya. Justeru, baik atau rosaknya cabang itu bergantung kepada pokoknya.

    Umumnya hati manusia tidak sama. Jika hati rosak, akan rosaklah segala-galanya. Namun, jika hati baik atau sihat, keseluruhannya akan menjadi baik.

    Menurut Hasan al-Basri, hati rosak disebabkan enam hal iaitu mereka sengaja melakukan dosa dengan harapan bertaubat, mereka mempelajari ilmu tetapi tidak mengamalkannya, apabila beramal mereka tidak ikhlas, mereka makan tetapi tidak bersyukur kepada Allah, mereka tidak reda dengan bahagian Allah dan mereka mengebumikan orang mati tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya.

    1. Sengaja melakukan dosa dengan harapan bertaubat

    Sesetengah orang meremehkan dosa, bahkan mempermain-mainkannya. Tidak sedikit mereka yang bertangguh untuk bertaubat kerana menyangka ajal masih jauh, walhal yang sebenarnya mereka tiada langsung pengetahuan akan hal itu. Jelas sekali, sikap mereka tidak lebih satu tipu daya yang terkena pada diri sendiri.
    Firman-Nya bermaksud: “Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Luqman, ayat 34)

    Hakikatnya, perbuatan dosa tidak disukai Allah, sebagaimana yang dapat difahami melalui ayat 107, daripada surah an-Nisa bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang selalu melakukan khianat lagi sentiasa berdosa.”

    Seorang ulama terkenal, Abu Syeikh Abdul Aziz ad-Daramy berkata, dosa kecil dilakukan oleh seseorang dapat menjadi dosa besar sekiranya ia berterusan, berulang kali ataupun menjadi kebiasaan tanpa berasa berdosa melakukannya.

    Abu Said al-Khudri berkata: “Sesungguhnya kamu semua pasti melakukan beberapa hal yang menurut kamu lebih kecil daripada rambut. Padahal, sewaktu zaman Rasulullah SAW, kami menghitungnya termasuk hal yang dapat merosakkan. Ini kerana kami sangat mengagungkan Allah.”

    2. Belajar tetapi tidak beramal

    Menurut Sufyan bin Uyainah, seperti disebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin, sungguh tidak baik bagi orang itu bodoh. Sesiapa mengamalkan apa yang dia ketahui, maka dia sepandai-pandai manusia. Dan sesiapa tidak mengamalkan ilmunya, maka dialah orang bodoh.

    3. Apabila beramal tidak ikhlas

    Dalam kitab Riyadus Solihin dan Penjelasannya menyatakan, ikhlas ialah bertujuan hanya semata-mata kerana Allah, yakni seorang hamba dalam melakukan ketaatan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah tanpa tujuan lain.

    Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu dan tidak pula pada bentuk rupa kamu, tetapi Dia melihat pada hati-hati kamu.”

    4. Makan tapi tidak bersyukur kepada Allah

    Bersyukurlah kepada-Nya. Dialah yang memberikan segala rezeki. “Maka, ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepada-Mu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

    5. Tidak reda dengan bahagian Allah

    Bersikap redalah dengan ketentuan daripada Allah. Dalam soal rezeki sebagaimana dikatakan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, tidak akan hilang daripada kamu ketika kamu tidak mencarinya. “Sesuatu yang bukan bahagianmu, maka kamu tidak akan mendapatnya, meskipun kamu bersemangat, bersungguh-sungguh dan berusaha keras dalam mencarinya. Maka, dengan itu bersabarlah dan redalah.”

    6. Mengebumikan orang mati tapi tidak mengambil iktibar

    “Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya.” (Surah al-A’raf, ayat 34)

  • Tepis kesusahan dengan sikap positif

    Susah dan senang umumnya boleh diumpamakan sebagai tamu. Kedua-duanya datang dan pergi silih berganti. Tiada manusia yang tidak bertemu kesusahan. Begitu juga tiada mereka yang senang selama-lamanya.

    Bukan sahaja mereka yang tinggal jauh di pedalaman dan hutan belantara, bahkan di bandar-bandar besar, tidak sedikit mengalami hidup yang susah. Cuma sesetengahnya bentuk kesusahan itu tidak serupa dan cara menanganinya juga tidak sama.

    Mereka kekurangan dari sudut harta benda sebagai contoh mengalami kesusahan untuk menyara keluarga. Mereka sukar mendapatkan lauk-pauk istimewa, pakaian dan aksesori diri berjenama ataupun rumah yang selesa dan kenderaan lebih baik.

    Suka atau tidak, selalunya mereka terpaksa berlaukkan telur, ikan kering atau ikan masin dan berkuah kicap hampir setiap hari.

    Di khemah-khemah pelarian di perbatasan luar negara misalnya, mereka tak kira jantina dan usia turut dihimpit kesukaran. Pakaian sehelai sepinggang, tidur dalam kesejukan dengan bekalan makanan bergantung kepada simpati pihak luar.

    Sesiapa pun bertemu dengan kesusahan! Namun, sekadar menghitung dan mengeluh tidak akan ke mana, apatah lagi hidup dalam masyarakat yang suka apabila orang lain susah.

    Apa pun, dalam banyak yang susah, banyak lagi yang senang sebenarnya. Cuba perhatikan di sekeliling kita. Kerana itu, kita perlu sentiasa bersyukur dan pada masa sama bergantung harap kepada-Nya.

    Malahan jika diamati, kesusahan itu juga berpunca daripada diri kita sendiri. Sebagai contoh sikap kita yang cuai, terburu-buru, tidak mahu mendengar nasihat, suka membangkang, malas berusaha tetapi ingin hidup selesa, saban hari ingin gaya berbeza, malahan tidak kurang mereka yang dengki khianat dan rakus.

    Sikap kurang elok atau memang tidak elok semestinya disisihkan dan diperbetulkan jika tidak mahu hidup menjadi susah. Contohnya malas kepada rajin, berdisiplin, bersikap sabar dan tenang, santun dan tahu menghormati yang lain.

    Sabda Nabi SAW diriwayatkan Imam al-Bukhari ini sangat baik dijadikan motivasi: “Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang yang lebih baik daripada hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud AS tidak makan melainkan daripada hasil usahanya sendiri.”

    Kata orang, hendak senang bukan senang, hendak susah tak susah.

  • Manusia sesuai dengan agama temannya

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang lelaki sesuai dengan agama temannya. Maka, lihatlah kamu siapa temannya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dengan sanad sahih; dan kata Tirmidzi hadis hasan)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi peringatan agar seseorang memilih teman atau sahabat yang baik-baik. Jangan sampai tersalah pilih untuk dijadikan sahabat. Sebutan agama itu harus difahami dalam konteks yang luas, termasuk akhlak, peribadi dan pembawaan diri.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283

  • Wanita dinikahi kerana empat perkara

    Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang wanita dinikahi kerana empat (perkara): Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka, usahakanlah untuk mendapat yang mempunyai agamanya, tentu kedua-dua tanganmu berasa puas. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Manusia biasanya mengahwini perempuan kerana empat perkara berkenaan. Namun diingatkan agar memilih kerana faktor agama. Sebab keelokan agama malah kefahaman jitu mengenainya, membuatkan rumah tangga aman sentosa. Kecantikan sebagai contoh tidak berkekalan malahan boleh menimbulkan fitnah, manakala harta selalunya membawa kepada hiruk-pikuk kehidupan, berlaku perebutan dan sebagainya yang boleh kita sifatkan malapetaka (jika tidak ditangani dengan baik). Kerana keturunan semata-mata pula kadang-kadang membuatkanmu berasa lebih mulia, berasa lebih bagus daripada orang lain, dan ini suatu sikap tidak bagus.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281

  • Anjuran berteman dengan orang yang baik

    Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Bahawa perumpamaan teman yang baik dan teman yang jahat adalah bagaikan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi adakalanya memberikan minyaknya kepadamu atau kamu dapat membelinya ataupun setidak-tidaknya kamu mendapati baunya yang harum. Sedangkan tukang besi, maka adakalanya akan membakar pakaianmu atau setidak-tidaknya kamu akan mendapati bau yang tidak enak daripadanya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan al-Bukhari, Muslim & Ahmad)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar berteman/bergaul dengan orang baik, dan mengingatkan pergaulan dengan orang yang tidak baik.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281.

  • Syurga bagi orang mengunjungi orang sakit, saudara kerana Allah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya fillah (pada jalan Allah, atau kerana Allah), maka berseru penyeru: Kamu telah melakukan kebaikan dan baik pula perjalananmu, serta kamu dapat menduduki tempat di syurga. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis ini hasan. Dan dalam sebahagian kitab disebutkan hadis ini gharib)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi ganjaran Allah terhadap orang yang mengunjungi saudaranya kerana Allah.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 281

  • Ziarah, cintai saudara kerana Allah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa ada seorang lelaki mengunjungi saudaranya di satu kampung lain, kemudian Allah Taala memerintahkan malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan.

    Ketika orang terbabit melalui jalan itu, malaikat berkata kepadanya: Kamu hendak ke mana?

    Dia menjawab: Saya hendak ke tempat saudara saya di kampung ini.

    Malaikat bertanya lagi: Apakah ada suatu kenikmatan yang hendak kamu peroleh daripada saudaramu itu?

    Dia menjawab: Tidak, hanya saya mencintainya (atau mengasihinya) kerana Allah Taala.

    Lalu, malaikat berkata: Sesungguhnya saya adalah utusan Allah untuk menemuimu, bahawa sesungguhnya Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Antara pelajaran yang dapat diperhatikan dalam hadis ini ialah berkunjung kerana Allah dan mencintai/mengasihi saudara atau saudari (bagi perempuan) kerana Allah. Ganjarannya, Allah mencintai pula orang terbabit.

    Malahan dalam setiap perkara/urusan, kita dituntut melakukannya kerana Allah.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 280

  • Tangis Abu Bakar, Umar dan Ummu Aiman

    Daripada Anas RA berkata: Abu Bakar berkata kepada Umar selepas kewafatan Rasulullah SAW, marilah kita berangkat bersama ke tempat Ummu Aiman RAnha, berziarah kepadanya, sebagaimana Rasulullah SAW pernah menziarahinya.

    Manakala kedua-duanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman menangis, lalu kedua-duanya bertanya: Apakah yang membuatmu menangis? Tidakkah kamu mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik untuk Rasulullah SAW?

    Maka, Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya saya bukanlah menangis, bukanlah kerana saya tidak mengerti bahawa apa yang ada di sisi Allah Taala lebih baik untuk Rasulullah SAW, tetapi saya menangis kerana bahawa wahyu telah terputus dari langit. Pernyataan Ummu Aiman ini menggerakkan hati Abu Bakar dan Umar untuk menangis, lalu kedua-duanya pun menangis bersama Ummu Aiman. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Ummu Aiman ialah hamba Rasulullah SAW yang dinikahi oleh Zaid bin Haritsah. Nama asalnya ialah Barakah. Dia adalah ibu kepada Usamah bin Zaid. Rasulullah menghormatinya. Di sisi Ummu Aiman, baginda bagaikan puteranya sendiri.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 279/280

  • Muliakan orang lebih tua, anda dimuliakan

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang pemuda memuliakan orang yang tua kerana usianya, melainkan Allah mentadkirkan untuknya orang yang akan memuliakannya kelak ketika dia berusia tua. (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan dia berkata hadis ini gharib / Didaifkan oleh syaikh Al-Albani dalam kitab Dhaif al-Jami’m 5012)

  • Jaga adab apabila di sisi orang lebih tua

    Daripada Abu Said Samurah Samurah bin Jundub RA berkata: Bahawa saya dahulu pada masa Rasulullah SAW masih kanak-kanak, maka saya menghafaz daripadanya. Maka, tidaklah baginda melarang saya daripada berbicara, melainkan jika di situ ada orang yang lebih tua usianya daripada usia saya. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi pelajaran agar menjaga adab atau menghormati orang lebih tua daripada kita. Kanak-kanak misalnya menjaga sikap terutama tutur kata apabila ada orang lebih tua.

    Rujukan: Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 278