LOKASI

  • MIC masih parti yang kuat – Vigneswaran

    SHAH ALAM — MIC masih sebuah parti yang mempunyai kekuatan dalam membela nasib masyarakat India di negara ini, kata presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran.

    Katanya, meskipun parti itu tidak mempunyai kuasa apabila pemimpinnya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet, namun umum mengetahui kepentingan dan jasa MIC kepada masyarakat.

    “Hari ini kita tidak ada apa-apa jawatan atau kuasa dalam kerajaan seperti dahulu, namun bukankah kita terus berdiri megah?

    “Mengapa ada kegusaran dan persoalan dalam kalangan kita tentang kemampuan parti ini? Parti-parti yang memegang tampuk kuasa juga mengakui serta mengiktiraf kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC ke-78, di sini hari ini.

    Mesyuarat itu yang dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dihadiri 1,480 perwakilan, 100 ahli pemuda, 100 ahli wanita dan 177 pemerhati.

    Vigneswaran berkata sehingga kini, MIC tetap hidup bermaruah dengan agenda yang jelas.

    “Setakat ini, tiada parti yang mengangkat isu-isu dihadapi masyarakat India selain MIC dan ia tanggungjawab kita (ahli parti) untuk bersama-sama terus berusaha memperoleh keyakinan mereka (masyarakat India),” katanya.

    Vigneswaran turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan menyertai lawatan kerja Perdana Menteri ke India bulan lepas untuk bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi.

    Katanya, beliau amat menghargai peluang diberikan Perdana Menteri yang mengambil kira pandangan MIC.

    Justeru, beliau menyeru semua ahli sayap serta bahagian parti itu untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan sempurna bagi mengangkat MIC ke tahap yang lebih baik.

    Vigneswaran berkata beberapa penyelaras akan ditempatkan di bahagian-bahagian tertentu parti berkenaan sebagai usaha memperkukuh parti dan kempimpinannya dalam menghadapi cabaran masa depan.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • ‘Ahli PAS tak taasub kepada pemimpin’ – Idris

    TEMERLOH — PAS tidak pernah mengajar ahlinya walak atau taasub terhadap pemimpin parti secara membuta tuli, kata Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad.

    Bagaimanapun, beliau berkata, selagi mana-mana pemimpin PAS walak atau taat kepada Allah dan Rasul, selagi itu ahli perlu mengikut atau menunjukkan taat setia mereka kepada pemimpin.

    “Selagi pemimpin walak kepada Allah dan Rasul, Insya-Allah kita akan ikut, sebab itu kita tak pernah didik ahli PAS jadi taasub membabi buta.

    “Terbukti pemimpin dulu hebat ketika mereka memimpin PAS kerana kita ikut arahan mereka, sebab mereka walak kepada Allah, Rasul dan kepada jemaah.

    “Apabila tak walak kepada Allah, Rasul dan jemaah, mereka menidakkan parti. Jadi kita tak perlu ikut mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.

    Idris berkata, ahli yang walak terhadap pemimpin parti menjadi antara faktor kejayaan PAS sehingga ke hari ini.

    Beliau berkata, walak memperkukuhkan organisasi sambil memberi contoh, pembinaan Kompleks Al-Makmur yang menjadi tuan rumah muktamar kali ini bernilai RM5 juta, mungkin tidak dapat disiapkan jika ahli tidak mengikut arahan pemimpin PAS.

    “Ini kejayaan ada pada PAS. Walak menjadikan organisasi kita kukuh dan kuat. Dewan (kompleks) Al-Makmur (bernilai) hampir RM5 juta ini kalau tidak ada walak, sudah tentu kita tidak dapat dirikan kompleks sedemikian rupa.

    “Dengan walak kita dapat tengok, petik saja jari kita untuk kita gerak turun demonstrasi, Insya-Allah ahli kita turun bersama. Ini terbukti apabila (demonstrasi) BERSIH yang terakhir kita tak sertai, penyertaannya agak hambar.

    “Kalau walak kita juga dapat gerakkan jentera kita pada setiap pilihan raya. Kita keluar arahan bantu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota walaupun bukan calon PAS tetapi dari BERSATU. Kita akan pergi sebab kita walak,” katanya.

    Dengan pegangan utuh ahli terhadap konsep walak dalam PAS, Idris berkata, ada pihak yang cuba meracuni ahli parti supaya tidak lagi taat kepada pemimpin.

    Beliau mendakwa, pihak berkenaan juga cuba meracuni pemikiran anak ahli PAS apabila cuba memburuk-burukkan mengenai konsep walak.

    “Ada orang cuba pecahkan doktrin walak, cuba untuk racunkan supaya ada dalam kalangan ahli PAS jangan jadi orang walak dan jangan jadi orang taat pada pimpinan.

    “Kadang-kadang pemikiran anak-anak kita ada diasuh, diracun dalam kalangan anak pemimpin PAS supaya tidak perlu kita duduk dalam jemaah. Kalau duduk (dalam jemaah) kena jadi orang walak dan taat pada pemimpin. Ini satu trend yang amat bahaya,” katanya.

    BH ONLINE

  • Polis tahan dua lelaki tanam 143 pokok ganja di rumah

    KUCHING — Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas kira-kira 1.7 kilogram ganja serta 143 pokok ganja dianggarkan bernilai RM3.6 juta di sebuah rumah di Jalan Piasau, Miri, Jumaat lalu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata kedua-dua suspek yang berusia 41 dan 61 tahun itu menanam benih pokok ganja di kawasan sebuah kediaman secara sulit, dengan benih berkenaan dipercayai dibeli secara dalam talian yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

    “Sepaket benih ganja dibeli dianggarkan bernilai AS$100.

    “Ganja yang dihasilkan kemudian dijual di sekitar Miri pada harga RM100 untuk 100 gram,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hari ini.

    Beliau berkata, keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan sebanyak 32,084 penagih sekitar Miri.

    Turut disita, katanya, sebuah kereta bernilai RM20,000 dan sebuah motosikal bernilai RM4,500.

    Mancha berkata, kedua-dua suspek yang positif terhadap dadah jenis Tetra Hydro Canabinol (THC) kini direman seminggu hingga 21 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6B dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    BH ONLINE-BERNAMA

  • Bukit Aman sahkan rakyat Malaysia ditahan di Hong Kong bersama dadah RM116.1 juta

    KUALA LUMPUR — Bukit Aman mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia oleh polis Hong Kong bersama sejumlah dadah jenis methamphetamine bernilai HK210 juta (RM116.1 juta) pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesakan perkara itu, berkata tangkapan berkenaan membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang beralamat di Sungai Besi di sini.

    Katanya, semakan mendapati suspek memiliki satu rekod lampau memiliki dadah dan satu rekod memasukkan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

    “Saya sudah minta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mendapatkan risikan pembabitan rakan sejenayah di negara ini,” katanya kepada BH hari ini.

    Terdahulu, South China Morning Post (SCMP) melaporkan polis Hong Kong membuat rampasan terbesar kristal methamphetamine bernilai HKD210 juta (kira-kira RM116.1 juta), Khamis lalu.

    Dadah itu ditemukan di dalam kontena berisi perabot dengan penghantarannya tiba dari Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu.

    Pemangku Superintendan Cheung Hok-fung dari Biro Narkotik mendedahkan, serbuan terbabit menemui 335 kilogram (kg) kristal methamphetamine dan 55kg kokain yang disembunyikan dalam 25 daripada 245 kotak di dalam perabot.

    Hok-fung dilaporkan berkata, sindiket berkenaan mengaturkan sebuah syarikat logistik untuk mengambil kontena dan memindahkan barang-barang itu ke sebuah gudang di Yuen Long pada Khamis lalu.

    Polis menyerbu gudang berkenaan pada hari yang sama dan mendapati suspek sedang membuka kotak-kotak barang.

    Ketika serbuan, pegawai juga menemui sarung tangan dan penimbang elektronik di lokasi kejadian.

    Suspek warga Malaysia itu dilaporkan memasuki Hong Kong sebagai pelancong sejak setahun lalu.

    BH ONLINE

  • Wanita maut, suami cedera kereta dinaiki rempuh pokok

    JASIN — Seorang wanita maut, manakala suaminya cedera selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan dan terbabas, sebelum merempuh pokok di Kilometer 10 Jalan Gapam-Bemban, di sini, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Nur Ayuni Raman maut di tempat kejadian, manakala suaminya, Bustaman Ismail patah kaki dan mengalami pendarahan di perut.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan jam 9.55 pagi.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu dalam perjalanan ke Ayer Keroh.

    “Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Bustaman dipercayai hilang kawalan ketika tiba di selekoh Jalan Gapam-Bemban dan terbabas sebelum merempuh pokok di bahu jalan.

    “Pemandu yang cedera di perut dan kaki dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

    “Isterinya yang juga suri rumah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala oleh kakitangan petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Jamil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Dua ditahan, lebih 7kg dadah dirampas di Bukit Mertajam

    BUKIT MERTAJAM — Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah dan merampas syabu serta heroin bernilai RM370,000 dalam serbuan ke atas dua rumah di sini, Khamis lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kedua-dua suspek yang juga rakyat tempatan berusia 40 dan 46 tahun itu, ditahan kira-kira 5.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) susulan maklumat dan risikan.

    Katanya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas enam bekas tin bertulis ‘Royal British Butter’ mengandungi tujuh paket plastik lut sinar disyaki dadah syabu dianggarkan berat 5.2 kilogram bernilai RM170,000.

    “Hasil soal siasat dan pandu arah oleh suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua ke sebuah rumah di kawasan sama pada 8.30 malam hari sama.

    “Pemeriksaan di ruang tamu telah merampas enam bungkusan plastik lut sinar yang setiap satu dibaluti kertas berwarna coklat, disyaki dadah heroin base dengan anggaran berat 2.287 kilogram bernilai RM200,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Hamzah, serbuan turut menyita barangan kemas berupa seutas rantai leher berserta loket, wang tunai RM1,600 dan sebuah kereta Nissan Teana dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM429,920.

    Beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket baru bergiat aktif mengedar dadah pada awal Mac lalu manakala rampasan tersebut boleh digunakan oleh seramai 176,000 orang atau 176,000 kali penggunaan.

    Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod lampau turut mendapati kedua-keduanya mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

    “Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Cubaan culik budak perempuan di Hulu Selangor

    HULU SELANGOR — Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menempuh detik menakutkan selepas hampir menjadi mangsa culik di Bukit Beruntung, di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menunggu van sekolah di bawah blok rumahnya.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa jam 8.56 malam.

    Beliau berkata, wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa.

    “Siasatan awal mendapati, suspek seorang warga tempatan dipercayai bertindak melarikan mangsa namun gagal.

    “Mangsa berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran dan menjerit minta tolong. Saksi awam yang berada di lokasi kejadian kemudiannya menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Asri berkata, suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri apabila saksi awam cuba menahannya.

    “Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

    “Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak meninggalkan anak bersendirian ketika di luar rumah kerana mengundang peluang dan ruang kepada penjenayah,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641223.

    BH ONLINE

  • Pembantu kedai rogol remaja didakwa di mahkamah

    KOTA BHARU — Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun di Taman Merbau Utama Selising, di Pasir Puteh, Julai lalu.

    Tertuduh, Muhammad Faiz Firdaus Badrolhisham, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa berusia 15 tahun antara jam 11 malam hingga 1 pagi di sebuah rumah di Taman Merbau Utama Selising, Pasir Puteh pada 3 Julai lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

    Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon jaminan dikenakan sebanyak RM30,000 dan bersyarat memandangkan kes berkenaan adalah serius.

    Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar pula memohon jaminan minima ditawarkan memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM40 sehari.

    Katanya, anak guamnya adalah anak sulung daripada dua beradik dan menjadi penanggung tunggal dalam keluarga memandangkan ibu tertuduh tidak dapat bekerja kerana menjaga adik tertuduh yang menghidap kanser tulang.

    Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

    BH ONLINE

  • Penunggang motosikal maut kemalangan 6 kenderaan

    MARANG — Seorang penunggang motosikal maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer (KM) 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kelulut di sini, malam tadi.

    Dalam nahas kira-kira jam 8 malam, Abdul Salim Mohamed Hashim, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa, berkata insiden itu membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR, dua kereta jenis Perodua Myvi, sebuah Proton Saga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang parkir di sebuah kedai makan berundur untuk keluar.

    “Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang datang dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang Toyota Hilux itu.

    “Akibat rempuhan itu, Proton Saga berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua motosikal Yamaha Y15ZR serta dua Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan,” katanya.

    Mohd Razman berkata, perlanggaran itu menyebabkan seorang daripada penunggang motosikal berkenaan terkorban dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

    Seorang lagi penunggang motosikal berusia 40 tahun dan pemandu salah sebuah Perodua Myvi berkenaan membabitkan seorang wanita berumur 22 tahun pula mengalami kecederaan serta dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin, melalui talian 09-6182222 untuk membantu siasatan.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang juga meminta semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas serta berhati-hati ketika memandu,” katanya.

    BH ONLINE

  • At least 7 killed as Russia shells 4 Ukraine regions, governors say

    KYIV — Russian shelling killed at least seven people in four attacks on the south, southeast and east of Ukraine on Saturday, regional Ukrainian governors said.

    In the Zaporizhzhia region in southeast Ukraine, governor Ivan Fedorov said Russian shells struck an agricultural enterprise in the town of Huliaipole, killing three people.

    “All the dead are employees of the enterprise,” Fedorov said in a post on the Telegram messaging app. Reuters could not verify details of these latest attacks in the war in Ukraine.

    A missile attack in the suburbs of the Black Sea port city of Odesa killed a man and a woman born in 1958 and 1962 and injured a 65-year-old woman, Oleh Kiper, the Odesa regional governor, said in a post on the Telegram messaging app.

    “A married couple died,” he said, adding that they were found during checks of residential and commercial buildings damaged earlier in the day and that Russian forces had used a prohibited cluster warhead.

    Shelling killed a sixth person in the southern region of Kherson, governor Oleksandr Prokudin, said. “A 60-year-old man who suffered serious injuries this afternoon died in hospital,” Prokudin wrote on Telegram.

    In Kharkiv region, Russia struck the village of Pisky-Radkivski with the high-speed Tornado-S multiple rocket launch system, regional governor Oleh Syniehubov said on Telegram.

    The body of a 72-year-old woman was retrieved from the rubble, and two civilians, a man and a woman, were taken to hospital, he added.

    REUTERS