
DPRK mengeluarkan teguran tajam terhadap serangan AS baru-baru ini yang menyasarkan kemudahan nuklear Iran, mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Iran.
Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Pyongyang melabelkan serangan AS itu “satu pencabulan besar terhadap kepentingan keselamatan dan hak wilayah negara berdaulat”.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Luar DPRK yang tidak dinamakan, AS dan “Israel” dituduh mencetuskan ketidakstabilan di Timur Tengah melalui apa yang disifatkan sebagai “gerakan perang tanpa henti dan perluasan wilayah,” satu kempen yang “diterima dan digalakkan oleh Barat”.
“(DPRK) mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran oleh AS yang … secara ganas memijak integriti wilayah dan kepentingan keselamatan sebuah negara berdaulat,” kata jurucakap itu.
Kenyataan itu seterusnya menyeru solidariti antarabangsa terhadap tindakan ini: “Masyarakat antarabangsa yang adil harus menyuarakan kecaman dan penolakan sebulat suara terhadap tindakan konfrontasi AS dan Israel.”
Minggu lalu, DPRK mengutuk serangan ketenteraan “Israel” terhadap Iran, memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan kuasa Eropah supaya tidak “menghidupkan api perang,” menurut jurucakap Kementerian Luar.
Pyongyang menyatakan “kebimbangan serius” terhadap “serangan ketenteraan Israel dan dengan tegas mengecamnya,” jurucakap itu menegaskan, menekankan bahawa pembunuhan “Israel” terhadap orang awam adalah “jenayah terhadap manusia yang tidak boleh dimaafkan.”
AL MAYADEEN