Empat perkara buat manusia lalai

Lalai sinonim dengan cuai, lengah dan  alpa. Ia adalah sikap negatif yang merugikan dan membawa kebinasaan.

Ramai manusia rugi kerana sikap mereka yang lalai. Mereka dilalaikan oleh banyak perkara dan hakikatnya tidak lari daripada empat faktor berikut:

1. Nafsu – selalu memerintahkan manusia ke arah kejahatan dan menggoda tanpa henti. Ia tidak mempunyai tabiat baik, malah tidak malu untuk melakukan apa saja.

Firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 43 bermaksud: “Adakah engkau nampak orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya?”

Ada orang berkata: “Bertuahlah bagi orang yang akalnya berfungsi sebagai pemimpin dan nafsunya pula menjadi tawanan dan binasalah bagi orang yang nafsunya menjadi pemimpin dan akalnya pula sebagai tawanan.”

2. Dunia dan segala tarikannya

Ayat 64, surah al-Ankabut, bermaksud: “Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui.”

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Ramai orang yang hanyut dibuai kenikmatan, ramai pula orang yang termakan fitnah (terpedaya) oleh pujian dan ramai juga orang yang tertipu oleh tertutupnya aib (pada dirinya).”

Salman al-Farisi RA berkata: “Sesungguhnya hamba Allah, jika dia berzuhud terhadap dunia, hatinya akan bersinar dengan hikmah dan anggota badannya pula akan saling membantu untuk beribadat.”

3. Manusia – kerap kali seseorang menjadi lalai kerana manusia lain,  terpengaruh ataupun terikut-ikut dengan mereka.

Imam Tabrani meriwayatkan satu hadis daripada Basyir bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, mafhumnya: “Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil.”

Maksudnya tidak bersahabat dengan orang yang bertingkah laku buruk bagi mengelakkan keburukan wataknya kerana watak seseorang dapat mempengaruhi orang lain.

4. Syaitan – mengenainya Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 208 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Yahya bin Muaz ar-Razi berkata: “Syaitan itu pengganggu, dia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan rancangannya, sedangkan manusia selalu sibuk.

Syaitan mengetahuinya tetapi oleh kerana manusia tidak dapat melihat syaitan, maka manusia lupa terhadapnya, manakala syaitan sentiasa mengingati mereka. Syaitan mempunyai ramai pembantu.”

Al-Quran menegaskan, maksudnya: “Dan janganlah engkau menjadi daripada orang yang lalai.” (Surah al-A’raf, ayat 205)

Namun, dalam banyak keadaan manusia selalu cenderung ke arah itu.
Barangkali kita boleh perhatikan kepada diri sendiri sama ada betul atau tidak.

Kalau kita pergi lebih lanjut, bercakap soal keselamatan di jalan raya sebagai contoh, berapa ramai yang melanggar peraturan, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, memandu dalam keadaan separuh sedar dan berlumba, sehingga mengganggu pengguna lain,  merempuh mereka dan mengakibatkan kecelakaan?

Bagi pelaksanaan ibadat seperti solat, sejauh mana kita ambil cakna terhadap aspek kebersihan diri dan pakaian, kriteria ketertiban dan khusyuk?

Cuba kita hayati kata-kata Nabi Isa bin Maryam sebagaimana dicatatkan dalam kitab Tanbihul Ghafilin: “Bukanlah keajaiban bagi orang yang binasa bagaimana dia binasa tetapi keajaiban adalah bagi orang yang selamat, bagaimana dia selamat.”