JITRA – Penduduk di Kampung Kemboja berhampiran Sungai Korok, dekat sini bimbang kejadian enam beranak ditemukan lemas dalam kereta Proton Iswara, semalam berulang jika langkah keselamatan tidak diambil segera.
Mereka mendakwa kawasan itu kerap berlaku kemalangan terutama pada waktu malam disebabkan jalan yang gelap.
Selain itu penduduk mengakui ada mitos mengatakan kawasan sepanjang Sungai Korok itu turut dikaitkan dengan kejadian mistik sebelum ini.
Sehubungan itu, penduduk meminta supaya laluan itu disediakan lampu jalan serta penghadang disediakan antara jalan dengan sungai. Keadaan itu sekali gus akan dapat menghapuskan kisah mistik yang membelenggu penduduk.
Penduduk, Zakaria Ariffin, 74, berkata kejadian kelmarin amat menyedihkan kerana ia membabitkan satu keluarga dan kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi Sabtu lalu.
Penduduk di situ bimbang untuk keluar masjid pada waktu malam manakala pada sebelah pagi pula pelajar hendak ke sekolah kerana keadaan jalan yang gelap.
“Kalau ada lampu jalan, mungkin orang boleh nampak kereta jatuh dalam sungai ..kalau pasang lampu selang dua tiang (elektrik) pun ok dah (sudah memadai).
“Jalan ini lurus, ramai yang bawa laju dan lalai ketika memandu sehingga mengakibatkan kemalangan,” katanya ditemui hari ini.
Ketika ditanya sama ada laluan sepanjang Sungai Korok itu dikaitkan dengan cerita mistik atau tidak, Zakaria berkata, semua tempat ada (mistik).
Penduduk lain, Ahmad Mahidin Hamid, 48, berkata kawasan sepanjang Sungai Korok itu memang kerap berlaku kemalangan pada waktu pagi, petang dan malam.
“Adakalanya kemalangan berlaku di tempat yang sama. Nak salah jalan tak boleh, …memang sebab laju tak sempat kawal sebab itu berlaku kemalangan.
“Boleh dikatakan setiap bulan berlaku kemalangan di kawasan ini, …kenderaan jatuh sungai dan tenggelam,” katanya sambil menambah jalan raya Kampung Kemboja adalah laluan utama penduduk dari Jitra ke Kubang Sepat menghala Jerlun dan Alor Setar.
Penduduk mengharapkan lampu jalan dipasang di sekitar kawasan itu bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Kebanyakan kemalangan kereta jatuh sungai biasanya bukan membabitkan orang sini sebab penduduk di sini sudah biasa melalui kawasan ini,” katanya.
Peniaga gerai makan, Romlah Omar, 64, berkata kemalangan kereta Proton Iswara yang dinaiki enam beranak itu hanya 100 meter dari gerainya.
Sehubungan itu, dia minta kerajaan menyediakan lampu jalan di kawasan itu untuk kemudahan orang ramai.
“Saya sudah berniaga di gerai ini sejak empat tahun lalu tetapi sudah banyak kemalangan berlaku dekat sungai ini dan ada yang terjunam ke sungai.
“Jalan ini tiada penghadang dengan sungai. Jika ada yang terbabas akan terus ke sungai,” katanya.
Romlah berkata, sebelum ini ada juga yang mengatakan terdengar suara tangisan kanak-kanak di kawasan sungai itu ketika memancing. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihan cerita itu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita membuat laporan polis selepas abang dan kakak ipar serta empat anak mereka gagal dihubungi selepas keluar dari rumahnya jam 5.30 pagi Sabtu lalu.
Jenazah enam beranak ditemui semalam dalam kereta Proton Iswara yang dipercayai terbabas ke dasar Sungai Korok.
BH ONLINE