Dalam tindakan besar menumpaskan pengintipan, propaganda dan operasi dron berkaitan Israel, perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan pada Selasa penahanan enam individu yang dituduh beroperasi sebagai ejen untuk entiti Israel di wilayah Hamedan, barat Iran.
Perkembangan ini berlaku selepas televisyen negara Iran melaporkan pada petang Isnin bahawa rangkaian ejen telah diberkas. Kumpulan itu mengendalikan dron dari pergunungan barat laut yang menghadap ke Tehran.
Menurut media kerajaan, rangkaian yang dibongkar itu bertanggungjawab terhadap aktiviti pengawasan dan potensi ancaman kepada keselamatan negara. Kumpulan itu dilaporkan menggunakan teknologi dron untuk mengumpulkan risikan dan memantau kawasan sensitif.
Dua hari sebelum itu, pejabat perhubungan awam IRGC mengesahkan penahanan seorang lagi kolaborator Israel di Khorramabad, wilayah Lorestan. Individu itu dilaporkan memiliki bahan letupan ketika ditahan.
Pada 16 Jun 2025, Agensi Berita Tasnim melaporkan bahawa polis siber di wilayah Isfahan mengenal pasti 60 individu yang disyaki bekerjasama dengan “Israel” untuk menyebarkan maklumat salah, memanipulasi pendapat umum dan menjejaskan kestabilan negara.
SAINTIS NUKLEAR JADI SASARAN
Dalam perkembangan berkaitan, televisyen negara Iran mengesahkan pembunuhan saintis nuklear Mohammad Reza Sadeghi dalam serangan Israel awal Selasa, sejurus sebelum gencatan senjata dilaksanakan.
Ini berikutan pembunuhan tiga lagi saintis nuklear, Ali Bakaei Karimi, Mansour Askari, dan Saeed Barji, yang terbunuh pada 14 Jun lalu.
Selain itu, beberapa pekerja dan orang awam telah syahid dalam serangan Israel ke atas Penjara Evin pada Isnin. Jurucakap badan kehakiman Iran mengecam serangan itu, melabelkannya sebagai “jenayah perang.”
AL MAYADEEN