MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia disyaki akibat didera bapa tiri dan ibunya di rumah mereka di Kota Laksamana, di sini, pagi tadi.
Difahamkan, terdahulu mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di Bandar Melaka oleh bapa tirinya berusia 30-an untuk mendapatkan rawatan susulan kecederaan dialami kanak-kanak itu.
Sumber berkata, doktor yang merawatnya bagaimanapun mendapati ada kesan disyaki akibat penderaan, pada tubuh kanak-kanak itu.
“Mangsa juga didapati mengalami patah kaki, selain ada kesan lebam di kepala dan badan.
“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan hospital terbabit,” katanya sambil memaklumkan bahawa ibu mangsa juga berusia 30-an.
Susulan itu, sumber berkata lagi, pihak hospital menghubungi polis kira-kira jam 10 pagi untuk memaklumkan kejadian berkenaan.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Leow Kian Heong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan tetapi tidak mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka, untuk bedah siasat.
BH ONLINE