BUTTERWORTH – Data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan 559 individu atau 0.5 peratus yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah dalam suku pertama 2025 berkelulusan ijazah sarjana muda, sarjana atau Doktor Falsafah (PhD).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata 2,323 orang pula memiliki diploma dengan kesemua mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun, terjebak penyalahgunaan dadah jenis sintetik atau konvensional seperti heroin atau ganja.
“Data juga menunjukkan 503 orang terbabit penyalahgunaan dadah berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 41,743 orang dan 30,016 orang berpendidikan tahap menengah.
“Sebanyak 9,736 orang pula mempunyai tahap pendidikan sekolah rendah manakala 21,057 lagi tiada pendidikan formal,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai Program Libat Urus Bersama AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen yang juga Pengerusi PEMADAM negeri.
Shamsul Anuar, juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan berkata, belia berusia 15 hingga 40 tahun kekal golongan penagih dadah paling ramai di seluruh negara dengan 65,264 orang atau 60.2 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.
“Mereka ini harapan negara tetapi terbabit dengan penagihan dadah dan sangat membimbangkan kerana jumlahnya besar.
“Kita juga beri perhatian kepada pelajar sekolah kerana bagi tempoh sama, 23 remaja berusia 14 tahun direkodkan terbabit dadah,” katanya.
Shamsul Anuar berkata penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan generasi masa depan tetapi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk rawatan.
Menurutnya AADK membelanjakan RM51 sehari untuk setiap pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).
Dalam pada itu, beliau berkata AADK menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian enam pelatih Puspen Jelebu, Negeri Sembilan melarikan diri pada awal pagi Selasa lepas.
Siasatan oleh ibu pejabat AADK dan negeri meliputi semua aspek termasuk punca kejadian bagi membolehkan tindakan sewajarnya termasuk penambahbaikan dilakukan supaya kejadian sama tidak berulang.
Shamsul Anuar berkata lima daripada enam pelatih itu berjaya ditahan semula dan usaha giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi yang terbabit.
BH ONLINE – BERNAMA