MELAKA – Lelaki yang memukul pemandu kereta dengan topi keledar hingga terbaring di atas jalan di Jalan Cheng Utama bulan lalu, terpaksa merengkok tujuh hari dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi Ayer Keroh meminda hukuman terhadapnya semalam.
Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi 1, Datuk Anselm Charles Fernandis, yang memanggil semula kes itu bagi semakan kehakiman.
Peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, yang mewakili tertuduh, Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, berkata semakan itu dibuat susulan perhatian media dan reaksi awam terhadap hukuman denda RM3,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret pada 4 April lalu, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
“Yang Arif (hakim) menyatakan kebimbangan terhadap keberkesanan hukuman denda berkenaan sebagai satu bentuk pencegahan, khususnya dalam konteks peningkatan kes keganasan jalan raya di negara ini.
“Mahkamah menyatakan insiden seperti ‘tailgating’ (mengekori rapat kenderaan), ‘sudden braking’ (brek mengejut) dan penggunaan kekerasan secara fizikal kini semakin berleluasa dan memerlukan tindakan mahkamah yang lebih tegas sebagai peringatan kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang dibantu peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham, berkata pihaknya berhujah bahawa hukuman denda berkenaan adalah memadai memandangkan tertuduh direman dari 29 Mac hingga 4 April dan tidak diwakili peguam semasa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret.
“Kami juga menghujahkan anak guam kami yang beragama Islam terpaksa melalui tempoh tahanan sepanjang sambutan Aidilfitri sehingga hari raya keempat yang menjadi satu bentuk tekanan dan memberi kesan kepada emosinya.
“Mangsa turut hadir ke mahkamah dan dimaklumkan sudah memaafkan tertuduh sejak hari kejadian serta tidak membuat laporan.
“Namun laporan polis dibuat oleh anggota polis yang melihat video kejadian itu yang berlaku pada 27 Mac lalu sebelum kedua-dua pihak dipanggil ke balai polis pada 29 Mac,” katanya.
Beliau berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan memaklumkan tiada arahan lanjut untuk merayu dan mangsa sendiri menganggap hukuman denda itu memadai kerana dia hanya mengalami kecederaan tisu lembut.
Menurut Sheikh Ikhzan lagi, Hakim Anselm bagaimanapun menegaskan denda RM3,500 tidak mencukupi sebagai pengajaran dan pencegahan kepada mana-mana pihak yang berniat untuk melakukan buli jalan raya.
“Yang Arif menegaskan keganasan di jalan raya adalah jenayah serius dan dalam kes ini tertuduh menggunakan topi keledar untuk menyerang mangsa.
“Beliau turut menyatakan bahawa mangsa bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan, namun mengingatkan penggunaan topi keledar sebagai senjata boleh mengakibatkan kecederaan lebih parah seperti retakan pada tengkorak yang boleh membawa risiko besar kepada nyawa.
“Selain itu mahkamah turut mengambil kira mangsa juga dituduh atas kesalahan gaduh gempar mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dalam mahkamah sama dan pada hari sama,” katanya.
Sheikh Ikhzan berkata, selepas meneliti keseluruhan fakta dan latar belakang kes, Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan jenayah dan meminda hukuman terdahulu dengan menjatuhkan hukuman penjara selama seminggu bermula semalam, selain mengekalkan hukuman denda RM3,500 yang dikenakan sebelum ini.
BH ONLINE