Pakaian dan perhiasan

Prinsip asal hukum bagi pakaian dan perhiasan adalah halal

Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan sama ada yang berada pada tubuh badan, pakaian atau tempat tinggal adalah halal dan dibenarkan.

Ini berdasarkan umum dalil yang menyatakan nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Juga berdasarkan umum dalil mengenai perkara yang diciptakan dan menjadi nikmat untuk mereka agar mereka memanfaatkannya dalam kehidupan di dunia.

Ia datang dalam bentuk pakaian, perhiasan, alat kegunaan dan nikmat kesenangan.

Firman-Nya bermaksud: “Dialah yang menjadikan untuk kamu apa yang ada di bumi semuanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Firman-Nya dalam surah Ibrahim, ayat 34 bermaksud: “Dan Dia telah memberi kepada kamu daripada setiap apa yang kamu memintanya. Dan sekiranya kamu hendak menghitung nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya.”

Firman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 32 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah; semua itu ialah (nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga orang-orang yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman saja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

Dalam ayat 28 surah al-A’raf firman-Nya bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (kekuasaan) Allah supaya mereka sentiasa beringat dan bersyukur.”

Erti pakaian dan perhiasan dalam ayat itu ditafsirkan oleh Ibnu Abbas RA sebagai setiap yang jelas kelihatan iaitu pakaian, barang perhiasan yang dipakai dan dihamparkan.

Firman Allah yang menyatakan nikmat kurniaan-Nya adalah untuk hamba-Nya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah sebagai tempat tinggal dan Dia menjadikan bagi kamu kulit binatang-binatang ternak, khemah-khemah yang kamu mendapatinya ringan (dibawa) , semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Dia juga menjadikan) daripada pelbagai jenis bulu binatang ternakan itu, pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa (tertentu).

“Dan Allah menjadikan bagi kamu tempat berteduh daripada apa yang diciptakan-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu dari gunung-ganang tempat tinggal serta Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang menjaga kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian yang menjaga kamu semasa berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 80 dan 81)

Maksud pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan seperti yang disebut dalam ayat berkenaan ialah yang berupa hamparan (tikar atau permaidani) dan beg. Maksud tempat tinggal iaitu tempat kamu berteduh daripada kepanasan dan kesejukan seperti di dalam gua dan lubangnya (pada zaman dulu atau dalam keadaan terdesak).

Maksud pakaian yang menjaga kamu semasa berjuang iaitu baju besi yang menghalang senjata musuh dan menjauhi kamu daripada tercedera.
Daripada dalil ini dan selainnya kita mengetahui bahawa prinsip asal bagi semua jenis pakaian dan perhiasan adalah halal dan diharuskan melainkan apa yang dikecualikan dengan nas yang khusus.

Ruj/sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie