KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berikutan seorang wanita warga Taiwan mendakwa ditahan serta diperas ugut oleh anggota polis ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan SS2, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas tular kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook milik wanita berkenaan pada jam 1.41 pagi tadi.
“Dalam hantaran itu, wanita berkenaan mendakwa dia ditahan ketika sekatan jalan raya sebelum diperas diugut oleh anggota terbabit.
“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan pemerasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang mencemarkan nama baik pasukan.
BH ONLINE