KLANG – Seorang pelajar universiti mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu perempuannya pada 2023 dan Mac lalu.
Tertuduh yang berusia 19 tahun itu mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut dua pertuduhan, lelaki berkenaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Sungai Buloh.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 2.47 pagi pada 2 Mac lalu dan 10.43 pagi pada 3 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama di rumah beralamat sama pada 10 September 2023.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
“Namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jaminan, saya cadangkan jumlah RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sama ada sendiri atau melalui wakil,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah berikutan dia menyesal dan insaf dengan perbuatan serta berharap dapat dimaafkan.
“Ini kesalahan pertama saya dan sebelum ini saya direman kurang sebulan dan ketika itu saya mengambil masa untuk merenung kesalahan serta bertaubat dengan apa yang saya buat.
“Saya anak sulung daripada empat beradik, saya juga masih belajar jadi ayah adalah penanggung tunggal keluarga, justeru saya mohon jaminan rendah dikenakan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Ogos ini bagi penyediaan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh adalah pesalah muda serta jatuh hukum.
BH ONLINE