SEPANG – Seorang penyelam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan memulakan hantaran komen jelik dan melampau sifatnya terhadap anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar menerusi laman media sosial Facebook awal tahun ini.
Tertuduh, Ruslan Mat Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Ruslan secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik dan jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Facebook Ruslan Mat Ali.
Semua hantaran didakwa dilakukan antara 21 Januari hingga 25 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan pertama, hantaran itu dilihat pada 4 Februari lalu, kira-kira jam 7 pagi di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Bagi pertuduhan kedua hingga ke-11, hantaran itu dilihat pada 26 Februari lalu antara jam 1.51 tengah hari hingga jam 4.30 petang di Centre of Excellence MCMC, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Bagaimanapun, bapa tunggal itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung tiga anak.
Ahmad Fuad memerintahkan Ruslan dikenakan jaminan RM10,000 dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Ruslan bagaimanapun gagal membayar wang jaminan itu.
BH ONLINE – BERNAMA