KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung rakaman perbualan didakwa mengaibkan seorang wanita, membabitkan seorang anggota polis, akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dihantar untuk tindakan lanjut.
“Wanita terbabit juga sudah tampil memberikan keterangannya. Kami sedang menganalisis rakaman video tular itu sepenuhnya.
“Siasatan tatatertib terhadap suspek juga sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes itu tercetus selepas tular rakaman berdurasi kira-kira dua minit 17 saat di media sosial, memaparkan perbualan didakwa berunsur mengaibkan antara seorang anggota polis berpakaian seragam dengan seorang wanita.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, dilaporkan berkata, siasatan tatatertib sudah dibuka terhadap anggota berkenaan.
Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau penyelia sekiranya aduan itu didapati berasas.
Beliau berkata, anggota polis terbabit turut diturunkan daripada sebarang penugasan bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan tanpa sebarang gangguan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
BH ONLINE