MUAR – Dua rakan termasuk seorang bawah umur merogol seorang penuntut dan memeras ugut teman lelaki penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam daerah ini, di hadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini.
Namun, hanya tertuduh berusia 17 tahun mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan manakala rakannya, Alif Hakim Hamil, 19, membuat pengakuan sebaliknya.
Mengikut pertuduhan rogol, Alif Hakim bersama-sama rakannya itu didakwa merogol penuntut berusia 20 tahun di sebuah kebun sawit antara jam 9 hingga 11.30 malam, 7 Julai lalu.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala Alif Hakim diwakili peguam, Salmi Hamdan Sabran.
Hakim Nariman Badruddin kemudiannya menetapkan 14 Ogos ini untuk serahan dokumen dan membenarkan ikat jamin RM8,000 ke atas Alif Hakim.
Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memeras ugut teman lelaki penuntut berusia 21 tahun dengan meminta menyerahkan wang tunai RM250 dengan kejadian berlaku pada waktu, lokasi dan tarikh sama.
Bagi kesalahan ini, mereka boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan ataupun mana-mana dua hukuman ini.
Majistret Suzana Mokhtar kemudiannya menetapkan 28 September ini untuk fakta dan perintah serta laporan akhlak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) terhadap tertuduh bawah umur itu.
Mahkamah turut menetapkan pada tarikh yang sama terhadap Alif Hakim untuk serahan dokumen.
Mahkamah membenarkan pesalah juvana itu diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala Alif Hakim, dikenakan RM2,000 bagi kesalahan peras ugut itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian dan Nur Ameerah Allaudeen.
BH ONLINE