Somalia berkata 24 maut selepas 2 bot karam di Lautan Hindi

MOGADISHU, Somalia — Seramai 24 orang maut selepas dua bot terbalik di luar pantai Madagascar di Lautan Hindi, kata kerajaan Somalia pada Ahad.

Menteri Luar Somalia Ahmed Moalim Fiqi berkata 46 orang telah diselamatkan.

“Kami bekerja tanpa jemu bagi memastikan mangsa terselamat dibawa pulang dengan selamat dan diberikan penjagaan diperlukan,” katanya.

Kebanyakan penumpang adalah warga muda Somalia, dan destinasi dituju masih tidak jelas.

Ramai anak muda Somalia memulakan perjalanan berbahaya setiap tahun untuk mencari peluang lebih baik di luar negara.

Satu delegasi diketuai duta Somalia ke Ethiopia dijadualkan pergi ke Madagascar pada Isnin untuk menyiasat insiden itu dan menyelaraskan usaha untuk membantu mangsa terselamat.

Fiqi juga berkata pada Ahad duta Somalia ke Maghribi akan meneliti laporan berasingan mengenai anak muda Somalia yang terkandas di pantai Maghribi.

Tidak jelas bila insiden Maghribi itu berlaku dan Fiqi tidak memberikan butiran.

Agensi penghijrahan PBB pada masa lalu telah membangkitkan kebimbangan mengenai peningkatan kes penghijrahan tidak teratur dari negara-negara Tanduk Afrika ketika orang ramai melarikan diri daripada konflik dan kemarau.

Pada April, 38 pendatang maut dan 22 yang lain diselamatkan dari kapal karam di Djibouti di laluan popular ke Yaman.
Kebanyakan mereka yang diselamatkan adalah warga Somalia dan Ethiopia.

AN-AP