PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Penentuan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian ramai itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Syed Saddiq yang memakai sut hitam ketika berada dalam kandang perayu, mencium tangan dan memeluk ibunya sejurus selepas mahkamah membuat keputusan.
Melalui penghakiman dibacakan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Noorin Badaruddin selama lebih sejam itu, menyatakan mahkamah itu mendapati pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.
“Kami mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (menyalahgunakan harta).
“Kami juga mendapati bahawa pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.
Syed Saddiq yang juga bekas Presiden MUDA merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman itu terhadapnya, selepas mendapati beliau gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan terbabit.
Mahkamah itu sebelum ini memerintahkan bekas Ketua ARMADA itu dipenjara tiga tahun dan dikenakan satu sebatan, bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan menyalahgunakan harta untuk diri sendiri mengikut Seksyen 403 akta sama pula, Syed Saddiq diperintahkan dipenjara dua tahun dan dikenakan satu sebatan.
Sementara itu, bagi dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, mahkamah memerintahkan beliau dipenjara dua tahun dan didenda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.
Hakim bagaimanapun memerintahkan hukuman bagi dua kesalahan pengubahan wang haram berkenaan berjalan serentak.
Syed Saddiq diwakili Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan bertindak bagi pihak Pendakwa Raya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023 yang mensabitkan beliau atas empat pertuduhan, termasuk bersubahat melakukan kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
BH ONLINE