RAMALLAH/JERUSALEM – Tentera Israel membunuh seorang wanita Palestin pada Selasa di utara Tebing Barat selepas dia didakwa cuba melakukan serangan tikaman, kata Kementerian Kesihatan berpangkalan di Ramallah.
“Kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa am bagi hal ehwal awam bahawa Amana Yaqou, 30, telah dibunuh oleh tentera Israel dekat Salfit,” kata kementerian itu dalam kenyataan ringkas.
Sumber keselamatan Palestin berkata, kejadian itu berlaku apabila wanita terbabit tiba di Persimpangan Haris/Gitai Avishar, di mana tentera Israel melepaskan tembakan ke arahnya “kerana didakwa cuba melakukan serangan tikaman”.
Rakaman video yang tersebar luas di rangkaian sosial menunjukkan seorang wanita terbaring di atas tanah, dengan beberapa askar Israel berpakaian seragam berdiri di sebelahnya, sebahagian daripadanya menutup badannya dengan selimut.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada Selasa dalam satu kenyataan bahawa askarnya “meneutralkan” seorang wanita yang didakwa membaling batu dan cuba menikam tentera Israel bersebelahan dengan persimpangan dekat penempatan Ariel.
Jurucakap tentera Israel memberitahu Radio Israel Kan bahawa sebilah pisau kemudian ditemui dalam simpanan wanita itu apabila mayatnya digeledah, dan tiada askar Israel yang cedera dalam kejadian itu.
Juga pada Selasa, IDF berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa ia telah menghukum komander dan askar kerana menyembur grafiti pada bangunan dan merosakkan peralatan semasa operasi pada Rabu di kem pelarian Dheisha dekat dengan bandar Bethlehem di selatan Tebing Barat.
Operasi itu kemudiannya dihentikan, dan grafiti telah ditutup, kata IDF.
Susulan siasatan terhadap perbuatan terlarang itu, komander batalion terbabit dan seorang komander kompeni telah ditegur, seorang lagi komander kompeni, dua lagi komander dan beberapa askar yang terlibat dalam kejadian itu diberhentikan, dan platun terbabit dibubarkan, katanya.
XINHUA