Wanita patah kaki jatuh dari tingkat dua apartmen

KUALA LUMPUR — Seorang wanita patah kaki selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah apartmen di Jalan 1/155A, Bukit Jalil di sini, pagi tadi.

Mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an terselamat selepas terjatuh ke atas bumbung tempat parkir kenderaan di bawah apartmen berkenaan.

Terdahulu, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan, memaklumkan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.56 pagi.

Berikutan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil terdiri daripada tujuh anggota bersama satu jentera FRT dan ERMS ke lokasi.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosmawi Ismail, bomba yang tiba di lokasi mendapati seorang wanita berada di atas bumbung di aras paling bawah bangunan apartmen berkenaan.

“Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkat dua bangunan dan anggota kita berjaya menurunkan mangsa dengan selamat.

“Mangsa mengalami kecederaan patah kaki kiri dan diserahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BH ONLINE