NIBONG TEBAL – Enam lelaki bersenjata parang serta topi keledar yang terbabit kejadian seorang pemandu lori diserang sehingga parah di sebuah rumah di Taman Bistari, di sini, semalam direman lima hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap semua suspek berusia antara 25 hingga 29 tahun dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad bermula hari ini hingga Jumaat untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori, pengawal keselamatan dan penjaga stor diiringi polis ke Mahkamah Majistret Jawi di sini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Dalam kejadian 3.30 pagi semalam, mangsa, 26, didatangi enam suspek bersenjatakan parang dan topi keledar ketika sedang tidur di ruang tamu kediamannya sebelum diserang sehingga parah pada bahu, tapak tangan dan belakang badan.
Susulan kejadian itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan sebelum pihak polis melakukan tangkapan ke atas semua suspek di enam lokasi berasingan sekitar Nibong Tebal, dengan motif kejadian dipercayai perselisihan faham.
BH ONLINE