PUTRAJAYA – Tuduhan kononnya kompaun yang dikenakan ke atas syarikat pemegang lesen membabitkan kes tiga penyampai radio sebagai berat sebelah sehingga menyebabkan Islam ditindas disifatkan sebagai fitnah yang berniat jahat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tuduhan terbabit nyata tersasar jauh dari realiti dan fakta sebenar.
Katanya, masih ada pihak cuba memutar belitkan fakta kompaun berkenaan yang diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
“Saya sudah jelaskan bahawa yang dikenakan kompaun adalah syarikat pemegang lesen, yang mengendalikan stesen radio Era FM iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd dan bukannya era FM itu sendiri mahupun ketiga-tiga penyampai radio.
“(Tuduhan) kononnya hukuman yang dikenakan berat sebelah hingga menyebabkan agama Islam ditindas, ini fitnah yang memang berniat jahat dan lari daripada realiti ataupun fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Semalam, MCMC mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM.
Kompaun itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025).
Denda itu dikeluarkan dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, kes membabitkan stesen radio, dua individu termasuk pelawak serta sebuah syarikat pengendali kedai serbaneka adalah tiga kategori berbeza.
“Kalau disebutkan isu berkaita KK Mart, siasatan di bawah Kanun Keseksaan dan denda dikenakan adalah sebanyak RM60,000, melalui keputusan mahkamah manakala bagi kes (pelawak) Harith Iskander dan Cecelia Yap, kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan mereka ada kategori individu, bukan syarikat.
“Maka Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan isu ini tidak dibawa ke mahkamah tapi diputuskan, diizinkan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk mengenakan kompaun.
“Ingin saya ingatkan juga kesalahan ini berlaku sebelum pindaan AKM yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu yang mana sebelum tarikh itu, kesalahan boleh dikenakan denda di mahkamah sehingga RM50,000 manakala selepas tarikh itu, denda dinaikkan sehingga RM500,000,” katanya.
BH ONLINE