SEREMBAN – Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang wanita, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menumbuk di bahagian kepala seorang wanita berusia 28 tahun di Taman Satria, Senawang, di sini, kira-kira jam 10.20 malam 29 Mac lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan semula.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung dua anak masih kecil dan ibu bapa serta isteri.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula bagi serahan dokumen dan laporan perubatan penuh ditetapkan pada 19 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan tular satu klip memaparkan seorang pemandu kereta wanita ditumbuk seorang lelaki dekat Taipan Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki berkenaan bengang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia berkenaan ketika melintas jalan.
Tangkapan ke atas lelaki itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
BH ONLINE