Tiada pengurusan 1MDB terima duit diseleweng – Pegawai penyiasat

PUTRAJAYA – Siasatan pihak berkuasa mendapati tiada mana-mana pengurusan tertinggi dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerima faedah hasil daripada penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara itu.

Bekas pegawai penyiasat skandal kewangan 1MDB, R Rajagopal memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihaknya tidak menerima bukti yang menunjukkan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Hazem Abdul Rahman; dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menerima wang daripada dana 1MDB.

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu berkata, maklumat terbabit diperoleh sepanjang siasatan pihak polis dan maklumat diterima daripada pasukan petugas khas yang turut menyiasat penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Beliau sebaliknya berkata, berdasarkan siasatan polis dan agensi penguatkuasaan yang lain mendapati jutaan ringgit telah masuk ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Rajagopal yang juga saksi pembelaan ke-11, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam pada sesi pemeriksaan balas.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan ketika membela diri sebelum ini menegaskan, beliau tidak mengetahui mahupun terbabit dalam salah laku dan penyelewengan dana 1MDB, sebaliknya ia adalah semata-mata didalangi pelarian dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa individu dalam pengurusan syarikat.

Najib berkata, beliau mendapati ia merisaukan bahawa pendakwaan mengetepikan bukti jelas mengenai pembabitan Shahrol Azral dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo serta yang lain yang bersekongkol dengan Jho Low untuk menyalahgunakan wang daripada entiti milik kerajaan itu.

Sementara itu, Rajagopal berkata, berdasarkan bukti yang diperolehi termasuk dokumen komunikasi dan perbankan, mendapati syarikat luar pesisir Good Star Limited, Jho Low, Blackstone Real Asia Estate Partners Ltd dan Najib tidak mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB yang mewajarkan mereka menerima wang daripada syarikat itu.

Jho Low dikatakan menubuhkan Blackstone, nama menyamai firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dalam konspirasi mengaut jutaan dolar daripada SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

Good Star pula syarikat milik Jho Low dan siasatan mendapati syarikat terbabit menerima AS$700 juta daripada jumlah AS$1 bilion yang sepatutnya dibayar bagi tujuan pemerolehan 40 peratus saham dalam projek usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Rajagopal memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap Najib yang membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang dijalankan di Istana Kehakiman bersambung esok.

BH ONLINE

ad


Facebook Posts

4 days ago

Sayidina

TYESO Vacuum Insulated Tumbler Sport Bottle (600/750/1050/1200ml) TS-8706C/TS-8709C/TS-8724/TS-8725s.shopee.com.my/4L5lov26pU

See MoreSee Less

View on Facebook