
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menyelamatkan seorang warga Australia yang hanyut dalam sebuah kapal layar selama empat hari di perairan barat laut, Pulau Perak.
Kapten Kelvin Holly, hanyut sejak 8 Mac lalu selepas kapal layarnya, Meridian of Sydney’ itu mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar.
Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM Lumut, Perak, berkata ketika kejadian kapal layar berkenaan sedang dalam pelayaran dari Krabi, Thailand ke Langkawi.
“Pusat Operasi Markas Wilayah Laut 3 (PUSOP MAWILLA 3) menerima maklumat pada jam 11.30 pagi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai kegagalan komunikasi dengan kapal layar tersebut ketika dalam perjalanan ke Langkawi.
“Menyedari keperluan untuk bertindak pantas, TLDM segera menggerakkan Kapal Diraja (KD) Mahamiru, untuk menjalankan pencarian bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
“KD Mahamiru tiba di lokasi pada jam 1.15 tengah hari dan mendapati kapal layar mengalami kerosakan pada jentera utama dan layar sehingga tidak dapat meneruskan pelayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cawangan Komunikasi Strategik berkenaan berkata TLDM memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada Kelvin sebelum menunda kapal itu ke perairan Langkawi.
Katanya, kira-kira jam 7.11 malam tadi, kapal berkenaan masih ditunda ke Jeti Langkawi sebelum diserahkan kepada APMM untuk urusan selanjutnya.
“Kecekapan dan tahap profesionalisme warga TLDM dalam operasi ini membuktikan tanggungjawab dan amanah yang digalas adalah fokus utama dalam memastikan keselamatan maritim serta berkeupayaan untuk bertindak pantas dalam sebarang keadaan kecemasan di perairan negara,” katanya.
Kejayaan ini juga memperkukuhkan peranan TLDM sebagai barisan hadapan dalam keselamatan di laut, selaras dengan misi utama memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
BH ONLINE