BINTULU – Seorang wanita warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan 18 unit rumah setinggan di kawasan Sungai Plan Jalan Tanjung Kidurong, di sini, pagi tadi.
Mayat Nuie Ipang, 77, dijumpai pasukan bomba dalam salah sebuah kediaman yang ranap selepas kebakaran dikawal jam 12.03 tengah hari.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad mengesahkan perkara itu dengan mayat mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 11.06 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengawal api.
Kejadian membabitkan 92 mangsa dengan semua yang terjejas kini tinggal menumpang di rumah sanak-saudara berdekatan sementara menunggu bantuan.
BH ONLINE