REMBAU – Bas ekspres membawa 39 penumpang terbabit kemalangan sebelum terbalik di Kilometer 245.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi menyebabkan enam mangsa cedera dengan dua daripadanya terpaksa menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 6.01 pagi berhubung kemalangan itu.
“Kemalangan membabitkan keseluruhan 40 mangsa termasuk pemandu bas dengan enam wanita dewasa mengalami kecederaan ringan.
“Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh paramedik ambulans dengan bantuan Pasukan Khas EMRS sebelum ambulans membawa dua daripada mangsa yang cedera ke HTJ untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, PLUS menerusi laman X memuat naik status jam 8.16 pagi memaklumkan kerja pengalihan kemalangan sedang dijalankan dengan lorong kanan di kedua-dua arah dan lorong tengah arah selatan masih terhalang.
“Smartlane masih diaktifkan menggunakan lorong kecemasan arah selatan. Trafik sesak arah selatan lima kilometer, manakala perlahan dua kilometer arah utara. Rancang perjalanan anda,” katanya.
BH ONLINE