AMPANG – Seorang pemilik bengkel kereta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak perempuan tirinya.
Bagaimanapun, lelaki berusia 31 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu yang mempunyai amanah sebagai bapa tiri didakwa melakukan persetubuhan dengan anak perempuan tirinya ketika mangsa berumur sembilan tahun tujuh bulan dan 14 tahun lima bulan yang mana hubungan tertuduh dengan mangsa tidak dibenarkan undang-undang dan hukum agama.
Kejadian itu dilakukan di dua unit kediaman berlainan di Bandar Country Homes, Rawang, pada jam 2 petang akhir April 2020 dan jam 2 pagi pada pertengahan Februari lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16(1) akta sama, boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan kerana tertuduh dan mangsa tinggal di bilik berlainan tetapi di rumah sama.
“Pendakwaan membantah jaminan bagi mengelak tertuduh mengganggu mangsa memandangkan dia bapa tiri dan tinggal serumah dengan mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan dia menyara anak yang masih kecil, selain ibunya tidak sihat dan kakaknya adalah orang kurang upaya (OKU).
Nurulizwan kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 21 April untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
BH ONLINE